Wednesday 28 March 2012

Pesta Joget 1MALAYSIA Meriah



MELAKA 9 Feb. – Joget adalah tarian asli popular dalam masyarakat Melayu yang sering dipersembahkan sewaktu majlis rasmi kerajaan dan majlis-majlis keraian yang lain.
Tanpa persembahan joget sesuatu majlis itu hilang serinya memandangkan ia merupakan salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu sejak dulu hingga kini.
Biarpun zaman terus beredar, joget tidak pernah luput atau lenyap ditelan zaman atau dimamah usia sebaliknya ia terus segar menjadi tarian rakyat.
Kini joget boleh disertai semua golongan masyarakat tidak kira tua atau muda malah kanak-kanak juga menggemari tarian itu kerana seni tari yang unik.
Mengikut sejarah, joget mula bertapak dalam masyarakat Melayu ekoran kedatangan Portugis ke Melaka semasa zaman perdagangan rempah.
Mereka membawa tarian diberi nama ‘branyo’ hingga berjaya menambat seluruh masyarakat Melayu ketika itu menjadikan joget mula diminati dalam majlis-majlis keraian.
Bukan setakat seni tari yang unik kerana lenggang-lenggoknya, sebaliknya apabila persembahan itu diiringi alat-alat muzik seperti gendang, biola, rebana, arkodian dan gitar ia menambah seri joget tersebut.
Bagi pelancong yang datang ke Malaysia, mereka begitu teruja melihat joget dipersembahkan dengan pakaian berwarna-warni yang menambah tarikan apabila menontonnya.
Tanggungjawab yang diamanahkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk memartabatkan semula joget di kalangan masyarakat dan pelancong harus dipuji.
Biarpun joget hanya dipersembahkan sebagai acara kebudayaan dalam majlis rasmi ia tidak bermakna seni budaya orang Melayu itu terus lenyap dimamah usia.
Sentuhan joget menerusi Pesta Joget 1Malaysia yang pernah diadakan di Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil Disember tahun lalu adalah langkah terbaik untuk memartabatkan semula budaya kesenian orang Melayu sejak dahulu kala.
Sewaktu 500 peserta daripada pelbagai kaum dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga mempersembahkan kepelbagaian tarian joget daripada semua kaum, ia mampu mencuri perhatian terutama golongan remaja dan pelancong luar negara.
Pentas terbuka di dataran tersebut mempersembahkan rangkaian lagu joget negeri dan gerak tari negeri terpilih dari zon Timur, Barat, Utara, Selatan, Sabah dan Sarawak.
Suasana cukup terhibur membuatkan mereka yang hadir turut terikut dengan rentak tarian apa lagi diiringi petikan gitar daripada 10 pemuzik mengalunkan lagu ‘Jingkling Nona’ dinyanyikan kumpulan koir sebelum disusuli nyanyian lagu ‘Joget Dondang Sayang’ sambil diiringi persembahan joget orang lama di kalangan 20 penari veteran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mahu menjadikan Pesta Joget 1Malaysia sebagai acara tahunan di negeri ini.
Melihat kehadiran ramai penonton pada pesta tersebut Disember tahun lalu, beliau berkata, acara itu mampu menarik lebih ramai pelancong jika ia merangkumi lebih banyak tarian tradisi pelbagai kaum untuk diketengahkan.
”Melaka sedia menjadi tuan rumah dan kalau boleh dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan Melaka tahun ini.
”Bagi saya, joget adalah budaya tradisi yang perlu dinobatkan semula seperti di zaman kegemilangan joget dipersembahkan pada setiap majlis keraian.
”Joget ada seni tersendiri yang perlu didedahkan kepada generasi muda kerana hanya mereka yang dapat memastikan joget terus dipertahankan dan tidak hilang serinya sejak dulu hingga sekarang,” katanya.
Menurutnya, tari joget dalam versi pelbagai kaum seperti Golek-Golek dari masyarakat Portugis, ‘Chinnanne Periyanne’ (India dan Chetty), tarian Inang Cina (Baba Nyonya), joget Sapu Tangan dan Sipinang Muda (Melayu) wajar diangkat setanding dengan joget yang diwarisi masyarakat Melayu.
”Seperti lagu Serampang Laut dan Joget Malaysia ia dapat mewujudkan persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.
Beliau menambah, joget yang merupakan tarian rakyat di kalangan masyarakat Melayu masih segar dan terus diminati oleh pelbagai golongan masyarakat berbilang kaum termasuk di semua peringkat usia.
 Sumber:Utusan

No comments:

Post a Comment