Monday, 5 March 2012

Fakta sejarah BINA tamadun negara


        Karya kreatif dalam bentuk novel, cereka tidak 
perlu dipolitikkan

KUALA LUMPUR: Masyarakat pelbagai kaum perlu menerima fakta sejarah sebagai asas pembinaan tamadun tinggi walaupun peristiwa berkenaan disampaikan dalam bentuk cereka atau novel kreatif. 
Guru pakar sastera Melayu, Mohd Noor Abdullah, berkata novel Interlok yang dipolitikkan sekarang sekadar merakam sejarah kedatangan kaum Cina dan India serta interaksi mereka dengan kaum Melayu sebelum kemerdekaan. Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemereh, Segamat, Johor, berkata penulis yang juga Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain seperti penulis novel kreatif lain tidak bermaksud menghina mana-mana kaum menerusi perkataan tertentu.

“Novel ini perlu dilihat secara positif kerana menampilkan tema perpaduan kaum walaupun ada ungkapan dianggap sensitif kepada sesetengah kaum,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, guru Bahasa Melayu SMK Maxwell, Hisnida Mohamed, berkata beliau tidak dapat mengesan unsur perkauman dalam novel itu.

Katanya, novel itu adalah hasil nukilan paling jujur daripada pengarangnya. “Pengarang cuba memaparkan kehidupan masyarakat zaman sebelum merdeka yang hidup susah sebelum berjaya mencapai kejayaan hari ini,” katanya.

Guru SMK Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), Zahura Md Amin, berkata Interlok akan membantu pelajar memahami sejarah dengan mendalam.

Katanya, pemahaman itu akan mengajar mereka erti perjuangan dan sekali gus memupuk semangat mencintai tanah air.

“Karya ini bagus dan perlu dipertahan kerana pelajar dapat mengenali kehidupan masyarakat lain dan mengajak mereka berfikir untuk memajukan bangsa.

Tinjauan Berita Harian ke beberapa sekolah mendapati pelajar turut memberi pelbagai reaksi dengan meminta Interlok dikekalkan.

Pelajar Tingkatan Lima SMK Maxwell, Muhammad Fazlans Sutrisno Tanjung, berkata dia melihat novel itu dalam konteks positif kerana mampu menaikkan semangat anak muda sepertinya untuk terus maju.

“Cerita dipaparkan novel mengenai sikap orang Melayu pemalas memang benar.

“Cadangan menarik semula tidak wajar kerana mengganggu proses pembelajaran calon Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini," katanya.

Rakannya, Looi Hoong Yew, pula berkata tindakan menarik balik akan menyukarkan pelajar dan guru.

“Saya sudah membaca novel ini. Kandungannya bagus dan sarat dengan nilai murni dan pengajaran yang boleh dicontohi generasi kini,” katanya.

Sementara itu, rakan mereka, Ravin Kumar Amaran, berkata dia bersetuju penggunaan novel itu diteruskan kerana kandungannya jelas selain meningkatkan semangat pelajar untuk berdaya saing.

Bagaimanapun, dia meminta perkataan sensitif dalam novel itu diubah walaupun mengakui apa yang diceritakan adalah fakta.

Presiden MIC, Datuk G Palanivel pula meminta Kementerian Pelajaran menjaga perasaan setiap kaum sebelum memilih sesuatu bahan bacaan buku sekolah.
“Disebabkan novel ini dibaca semua kaum, bahan bacaan yang menyinggung perasaan kaum lain tidak harus dipilih sebagai bahan bacaan sekolah,” katanya.

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar, S Anand Kumar dan Hazwan Faisal Mohamad
2011/01/13

salah satu contoh novel yang adalah dalam pasaran.

No comments:

Post a Comment