Monday, 19 March 2012

Pembangunan MaMpan (2)

Konsep PM:
Pembangunan mampan ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa depan. Pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampungnya; pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta kadar pencemaran yang dicetuskan ke atas bandar dan kawasan sekelilingnya.(White & Whitney, 1992) Pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira keadilan sosial, keperluan manusia asas, kesihatan awam, kesedaran persekitaran dari segi ruang dan masa. Salah satu cara untuk mencapai pembangunan mampan tersebut adalah melalui kesihatan ekonomi bandar. Justeru itu, aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan dan kemiskinan perlu diambil perhatian dan daripadanya peranan aktiviti informal serta perdagangan skala kecil(petty commodity sector) menjadi penting.(David Drakakis-Smith, 1995)




Tujuan PM:

1. Pemuliharaan Sumber
Memastikan penerusan penawaran sumber semulajadi pada masa sekarang dan akan datang melalui penggunaan tanah yang efektif, pengurangan sumber yang tidak boleh diperbaharui, pemuliharaan kepelbagaian sumber semulajadi.
Pemuliharaan merangkumi penggantian sumber, perubahan dalam cara penggunaan dan memberi perhatian kepada faktor ‘intangible’ seperti nilai keselesaan dan nilai warisan.

2. Pembangunan Fizikal
Memastikan pembangunan alam bina akan berharmoni dengan alam semulajadi di mana hubungan mereka adalah seimbang dan saling memanfaatkan.
Membantu menyedarkan komuniti tentang peluang yang terdapat di kawasan tersebut. Meminimumkan pembaziran sumber dan keburukan yang akan dibawa kepada komuniti apabila sesetengah kawasan perniagaan mengalami tekanan pembangunan yang melampau sedangkan sesetengah kawasan mengalami kemerosotan perniagaan seperti penutupan kedai dan kehilangan pekerjaan.

3. Kualiti Alam Sekitar
Mengelakkan pencemaran alam, melindungi kapasiti ekosistem dan mengelakkan pembangunan yang akan mengancam kesihatan manusia atau menjejaskan kualiti kehidupan. Mengurangkan atau mengubah proses pengeluaran atau perniagaan yang akan menjejaskan kualiti hidup manusia. Cara pembuangan dan pelupusan sampah harus dititikberatkan.

4. Kesaksamaan Sosial
Mengelakkan pembangunan yang akan menambahkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta menggalakkan pembangunan yang dapat mengurangkan ketidaksamaan sosial. Mengurangkan pembaziran tenaga manusia. Kesaksamaan sosial perlu dipelihara dari segi peluang ekonomi di sesuatu kawasan.

5. Penyertaan Politik
Menggalakkan penyertaan komuniti dalam membuat keputusan.







Strategi PM:

LOCAL AGENDA 21 (LA21) 
Agenda 21 merupakan satu Pelan Tindakan Global Ke Arah Pembangunan Mampan Untuk Abad Ke-21. Ia dihasilkan melalui deklarasi Earth Summit di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 yang dihadiri oleh 178 buah negara termasuk Malaysia. Pelan Tindakan Global tersebut mengandungi 40 bab yang menghuraikan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan ke arah pembangunan mampan. 

Bab ke-28 Agenda 21 menekankan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan pembangunan mampan di peringkat tempatan menerusi Program Local Agenda 21 (LA21). Oleh yang demikian LA21 adalah Agenda 21 yang dilaksanakan di peringkat tempatan. Local Agenda 21 (LA21) merupakan suatu program yang menekankan penglibatan 3 pihak, iaitu PBT, masyarakat dan sektor swasta berkerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi.  

















No comments:

Post a Comment