Melalui slogan ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian
Diutamakan’, konsep Satu Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak sudah banyak diperkatakan dan dibahaskan.Banyak juga
tafsiran dibuat. Tidak kurang ilham yang disuarakan oleh Perdana Menteri ini
ditafsir dengan cara yang salah, kononnya bakal menguggat hak dan keistimewaan
orang-orang Melayu dan golongan Bumiputera.
Secara umumnya, gagasan Satu Malaysia dilihat sebagai tepat
pada masanya dan berada pada landasan yang betul untuk mempersiapkan rakyat
Malaysia sebagai satu bangsa yang maju seterusnya mencapai wawasan 2020.Satu
Malaysia bertujuan untuk menyatupadukan rakyat – paling penting bagi memastikan
tiada rakyat di negara ini terpinggir daripada arus pembangunan. Malah setiap
rakyat sama ada daripada kelompok kecil atau besar tidak akan dipinggirkan
sebaliknya diberikan bantuan sama rata.
Gagasan ini juga bertujuan menjadikan Malaysia bukan sahaja
sebagai sebuah negara yang kuat dan maju tetapi juga menjadikan rakyat yang
berbilang kaum dan agama ini hidup bersatu padu sebagai satu bangsa. Melalui
gagasan Satu Malaysia ini, rakyat pelbagai kaum, agama dan latar hidup
disatukan bagi melahirkan satu bangsa dengan satu impian sekali gus menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat dan dihormati di peringkat
antarabangsa.
Sebagai rakyat Malaysia yang menyokong usaha membawa negara
ini menjadi sebuah negara maju, kuat, bersatu serta dihormati, gagasan Satu
Malaysia ini wajar disokong dan didokong oleh semua pihak.Walaupun ada pihak
yang mempertikaikan dan mentafsirkan gagasan ini sebagai bakal menghakis hak
dan kesitimewaan orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera lainnya, pandangan
cetek begini perlu disangkal.Apa yang jelas, gagasan Satu Malaysia ini masih
berlandaskan atau berpaksikan kepada Perlembagaan dengan memastikan hak-hak
keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera akan terus dipelihara dan dalam
masa yang sama hak-hak kaum lain akan terus dibela dan dihormati.
Jika diperhalusi ke semua lapan nilai dalam konsep Satu
Malaysia ini iaitu, budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan,
kesetiaan, meritokrasi, integriti dan pendidikan, sememangnya bertepatan dengan
hala tuju negara pada ketika ini.
1. Budaya Kecemerlangan
Y.A.B. Perdana Menteri percaya bahawa demi mengubah
Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian lebih tinggi, Budaya Kecemerlangan
amat perlu dalam diri setiap manusia. Ini kerana jika seseorang mempunyai satu
set nilai-nilai yang mempraktikkan Budaya Kecemerlangan, segalanya akan
berkembang dan beralir dari Budaya tersebut.Secara dasar, ia merupakan satu
usaha berterusan. Namun seseorang perlu menjanakan perkara-perkara yang akan
mendorong orang ramai untuk menyedari betapa pentingnya Budaya Kecemerlangan.
Sebagai contoh, dengan memperkenalkan dengan lebih banyak prinsip meritokrasi.
Dari situ, seseorang itu akan menegaskan kepentingan prestasi, dan prestasi itu
banyak berpaut kepada Budaya Kecemerlangan.
a) Aspek-aspek Budaya Kecemerlangan
Sebuah masyarakat yang percaya kepada prinsip ketepatan
merupakan satu salah satu nilai dalam Budaya Kecemerlangan.Ketepatan
pengukuran, menguruskan masa, jadual penyampaian, dari segi kualiti amatlah
penting. Jika Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan kualiti
dan kecemerlangan, maka setiap produk dan perkhidmatan yang berasal dari
Malaysia akan dilihat seperti mempunyai kualiti dan nilai cemerlang yang
diinginkan oleh dunia.
b) Tentang Mempelajari Budaya Kecemerlangan
Beliau juga turut menceritakan pengalaman bersama dengan
arwah ayahanda yang disifatkan sebagai seorang ahli motivasi.Tetapi secara
halus, bapanya menerapkan dalam jiwa beliau satu keinginan untuk berjaya dan
menjadi yang terbaik di kalangan rakan seperjuangan, contohnya di dalam bilik
darjah. Arwah bapanya menyediakan satu skim ganjaran, iaitu sejumlah wang yang
kecil yang akan dihadiahkan jika berjaya menduduki tempat pertama di dalam
mana-mana ujian atau peperiksaan. Menurutnya bukan ganjaran wang yang menjadi
ukuran tetapi kegembiraan apabila menjadi pelajar terbaik di dalam kelas, dan
kekecewaan jika tidak berjaya.Itulah titik tolak dalam hidupnya untuk menyedari
betapa pentingnya kejayaan dan berusaha dengan gigih dalam segala perbuatan.
2. Ketabahan
Seseorang itu akan berjaya menghadapi rintangan dan dugaan
sekiranya beliau kerja keras, berdedikasi, dan tabah menghadapinya serta perlu
menghargai dan memahami waktu semasa menghadapi kesukaran tersebut. Begitu
jugalah Malaysia yang berhadapan dengan berbagai krisis seperti krisis
kewangan, menentang komunis atau berhadapan dengan waktu-waktu bergolak di
dalam sejarah kita. Namun apa jua keadaan kita akan berjaya mengharungi krisis
tersebut dan menjadi lebih kuat sebagai sebuah negara. Tetapi semua itu telah
dicapai kerana kita telah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada permasalahan
tersebut.
Ketabahan mengharungi
perubahan peribadi
Y.A.B. Perdana Menteri turut menceritakan bahawa di
sepanjang kehidupannya, beliau sentiasa perlu berusaha lebih daripada biasa
demi membuktikan kemampuan diri kerana tidak mahu orang lain memandang
kepadanya dan berkata "dia berada di situ kerana nama, atau nama
keluarganya melonjakkannya ke situ". Beliau merasakan ada masa yang sama
ia seakan satu bebanan kerana perlu sentiasa membuktikan bahawa beliau wajar
mendapat semua itu. Malah beliau sentiasa menyedari bahawa perlu menunjukkan
kemampuannya dalam melakukan sesuatu perkara dengan baik.Contohnya semasa
beliau menghadapi kekecewaan politik di kawasannya sendiri iaitu pada 1999,
apabila hanya menang tipis dengan majoriti yang sangat kecil iaitu 241.
Pada masa itu, ramai yang berkata tidak lama lagi beliau
akan menjadi sejarah, dan sebahagian daripada mereka mencadangkannya supaya
bertukar kawasan. Tetapi beliau tetap dengan pendiriannya untuk kekal dan
menyatakan pada diri sendiri walau apa sekali pun akan terus berjuang. Y.A.B.
Perdana Menteri berazam untuk membuktikannya dan dalam jangka masa 4 tahun,
beliau menang majoriti besar berjumlah 22,922.Manakala pada Pilihan Raya Umum
2008, beliau mencapai kejayaan terbaik dari segi majoriti BN untuk sebarang
kawasan pemilihan Parlimen apabila meraih 26,464.Apabila mengalami kekecewaan
tersebut, beliau menyedari perlunya melakukan lebih lagi apabila beliau perlu
melakukan sesuatu dengan pendekatan yang lebih kreatif serta berbeza, dan semua
itu telah menghasilkan perubahan dan peningkatan tersebut, peningkatan besar
yang menakjubkan.
3. Rendah Hati
Bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana
di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat tradisional, mereka cenderung
menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri.Dalam Islam, ia adalah
konsep Tawaddu`, yakni rendah hati.Sebagaimana yang anda ketahui di dalam
masyarakat Melayu, seseorang itu tidak boleh menunjuk-nunjuk.Contohnya, apabila
anda keluar melakukan tugas sebagai seorang ahli parlimen, anda mestilah boleh
menyesuaikan diri dengan masyarakat. Dengan memberikan contoh ketika bertugas
sebagai ahli parlimen, jika berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk
miskin di dalam kawasannya, beliau akan memastikan tingkah lakunya tidak akan
membuatkan mereka berasa tidak selesa. Namun begitu, bersikap rendah diri
bukanlah sebagai satu petanda kelemahan. Dalam masyarakat tertentu, ia
cenderung disalahertikan sebagai satu petanda kelemahan. Apabila berurusan
dengan orang luar, ada kalanya perlulah menunjukkan kekuatan dan keyakinan
kerana apabila dilihat seperti rendah diri akan dianggap sebagai satu petanda
kelemahan. Beliau menyatakan seseorang itu mestilah menyedari bahawa dalam
lingkungan masyarakat Malaysia, ia adalah satu aset, tetapi ada waktunya
apabila berurusan dengan dunia luar perlulah memperlihatkan kekuatan dan kejayaan,
tetapi bukanlah dengan cara penindasan.
4. Penerimaan
a) Tentang kepentingan
penerimaan berbanding toleransi
Y.A.B. Perdana Menteri berasakan terdapat perbezaan yang
agak ketara di antara toleransi dan penerimaan.Apabila menyebut toleransi, kita
tidak berapa sukakannya, tetapi tetap menerimanya kerana tiada pilihan. Tetapi
jika bercakap dari segi penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa
kita menerima sepenuhnya sesuatu itu secara positif. Pada beliau adalah penting
bagi kita untuk beralih dari konsep toleransi semata-mata ini kepada
penerimaan.Penerimaan bermaksud bersedia untuk menerima sebarang perkara dan
sekiranya sanggup menerima sebarang perkara dengan kerelaan, maka beliau
berasakan untuk melihat kepada semua perkara secara lebih positif adalah lebih
baik berbanding toleransi semata-mata.
Padanya, itu adalah penting kerana seseorang tidak lagi
merasa terbeban dan tidak dipengaruhi oleh sebarang tanggapan melulu yang
negatif dan mahu melihat kemampuan terbaik yang boleh diberikan. Kita perlu
mendapatkan yang terbaik daripada semua bangsa sama ada Melayu, Cina, India,
semua kaum lain dan mengadun semua ini agar menjadi jauh lebih besar berbanding
bilangan kelompok kaum secara individu.
b) Tentang peranan
kerajaan dalam memupuk penerimaan
Belia berpendapat perlunya memulakan polisi yang kelihatan
adil dan dilaksanakan dengan cara yang mencerminkan komitmen. Sebagai contoh,
apabila bercakap tentang membantu golongan miskin, bantuan tersebut mestilah
diberikan kepada semua golongan masyarakat.Maka semua program dan peruntukan
kewangan wajib mencerminkan keperluan untuk mengatasi masalah golongan miskin
merentasi semua lapisan etnik dan kaum. Terdapat juga pertimbangan lain,
contohnya membangunkan bakat di Malaysia. Setiap rakyat Malaysia sepatutnya
berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi pembangunan diri mereka tanpa
mengira jantina. Sistem sedia ada seperti sistem pendidikan, biasiswa, bantuan
kewangan, menunjukkan tiada had yang ditentukan kerana latar belakang etnik
seseorang tetapi berdasarkan keupayaan peribadi sendiri.
5) Kesetiaan
Pada beliau kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas
kepada kepercayaan. Dalam sebarang perhubungan, kesetiaan adalah penting.Beliau
juga mentafsir kesetiaan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya keterlaluan
sehingga membuta tuli.Padanya di dalam perkhidmatan kerajaan, semestinya
seseorang itu perlu setia kepada pemimpin.Tetapi seseorang itu hendaklah setia
selagi pemimpin itu komited kepada tugasnya dan berdedikasi. Kesetiaan juga
tidak bermakna tidak boleh mengkritik, tetapi sudah tentu hendaklah mengkritik
dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan. Beliau akan
menghargainya, sama ada ianya perhubungan peribadi atau dalam konteks rakan
sejawat bahawa akan adanya peluang dan waktu untuk mereka memberikan pandangan
yang membina dan kritikan yang diperlukan. Tetapi kesetiaan juga hendaklah
disertai dengan keupayaan.
Pada beliau kesetiaan yang membuta tuli adalah merugikan
dari segi perhubungan peribadi atau di dalam kerajaan bahawa tiadanya ruang
untuk kritikan membina mahu pun pertentangan pendapat. Tetapi ia hendaklah
dilakukan dengan cara yang betul dan dengan niat yang baik.
6) Meritokrasi
Prinsip meritokrasi tidak boleh dilaksanakan dalam erti
kata yang sebenar kerana ada masanya perlu mempertimbangkan faktor-faktor
tertentu yang lain. Contohnya, mereka yang kekurangan, atau masyarakat yang
tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru yang berada di
luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik.Sudah tentunya mereka ini
memerlukan pertimbangan khas.Namun pada dasarnya, meritokrasi merupakan satu
prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih hebat.Satu
daripada prinsip budaya kecemerlangan adalah prinsip meritokrasi. Jika
penghargaan berasaskan kerana mereka adalah terbaik, sama ada untuk tugasan
tersebut atau syarikat terbaik untuk mendapatkan kontrak, maka semua pihak akan
menyedari bahawa mereka perlu berada di tahap tersebut. Pada beliau setelah
menyedari bahawa mereka perlu memberikan yang terbaik, maka semua itu akan
menyerlahkan yang terbaik daripada semua orang. Maka itu kita tidak mahu
Malaysia tidak memberikan sebaik mungkin sebagai sebuah negara. Melihat kepada
Malaysia, menggunakan terma sukan tinju, beliau mahu melepaskan tumbukan
melebihi had kategori berat badannya. Jika menggunakan budaya kecemerlangan dan
prinsip meritokrasi ini, pada beliau ia akan menjadi adunan yang diperlukan untuk
memaksimumkan potensi Malaysia.
Tentang langkah
Kerajaan ke arah meningkatkan meritokrasi
Ia memang bermakna bahawa kepelbagaian aspek perkhidmatan
kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya sewajarnya dibentuk berdasarkan
meritokrasi. Misalnya dalam pemerolehan, Kerajaan sewajarnya memperkenalkan
satu polisi yang memastikan persaingan pembidaan kerajaan berpeluang memilih
syarikat terbaik untuk tugasan tersebut pada harga terendah dan pada masa yang
sama mempunyai kemahiran yang diperakui adalah lebih besar berbanding pemilihan
berasaskan tender perundingan. Pada masa ini lebih baik mengenal pasti
perkhidmatan atau lapangan tertentu yang hendak diswastakan dan membukanya
untuk pembidaan.Seterusnya cadangan terbaik boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan.
7) Pendidikan
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk
mana-mana negara mencapai kejayaan.Sepanjang sejarah, hanya empayar yang
berteraskan akal yang terus wujud berbanding dengan sebuah empayar yang terbina
daripada kekuatan tentera tidak mampu bertahan.Pendidikan dan pengetahuan perlu
dilihat dalam konteks holistik dan disepadukan dengan nilai.Bukan saja
kerajaan, tetapi juga masyarakat sebagai satu nilai.Sebagai contoh, budaya
membaca. Budaya membaca, sama ada melalui buku atau pun internet, akan berupaya
membuka minda masyarakat Malaysia.
Kita dikekang oleh kenyataan bahawa kita mempunyai aliran
(pendidikan) yang berbeza di dalam negara.Kita tidak mempunyai aliran tunggal
dan dengan demikian, kita tidak mempunyai aliran kebangsaan.Sedangkan aliran
kebangsaan sendiri telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah
vernakular.Ia menjadi kedua-duanya kekuatan dan masalah dan cabaran kepada kita
kerana kita tidak berpeluang untuk membolehkan rakyat Malaysia membesar bersama
melalui satu saluran pendidikan dari segi fizikalnya, sebaliknya mereka akan
diasingkan. 95 peratus daripada bangsa Cina akan memasuki sekolah Cina dan 97
peratus daripada bangsa Melayu akan memasuki sekolah kebangsaan. Maka kita akan
kehilangan peluang. Namun apa yang boleh kita lakukan ialah memastikan
terdapatnya peluang untuk kita berinteraksi dengan melihat kepada kurikulum dan
menekankan kepada nilai bersama, agar walau pun kita terpisah secara
fizikalnya, tetapi jika dipenuhi dengan nilai sistem yang serupa, pada satu
peringkat masa diharap kita akan bertemu pada satu titik persamaan. Apabila
kita bertemu dalam erti kata fizikalnya, kita akan berupaya untuk menghargai
satu sama lain dengan lebih baik lagi.
8) Integriti
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat
kepercayaan dan keyakinan rakyat.Cara terbaik untuk mendapatkan kepercayaan dan
keyakinan ini adalah dengan berlaku jujur kepada rakyat.Jika anda telah
melakukan dengan baik, maklumkan polisi yang dilaksanakan adalah betul. Jika
polisi tersebut tidak menjadi, maka anda sewajarnya berani untuk menjelaskan
kepada mereka, begini… “kita telah melakukan kesilapan tetapi kita merancang
untuk melakukan lebih baik lagi, kita mahu memperbetulkan kesilapan ini”.
Adalah diharapkan kesilapan hanya sedikit sahaja, tetapi
sebahagian besar daripada keputusan adalah betul dan bertepatan. Namun akan
terdapatnya ketika disebabkan oleh perubahan keadaan, anda tiba-tiba menyedari
bahawa polisi atau keputusan anda adalah tidak tepat. Tetapi sebaik anda
menyedari bahawa anda kurang tepat, maka berlaku jujurlah dan maklumkan kepada
rakyat.
Anda mesti bercakap benar dan percaya kepada rakyat.
Selepas satu jangka masa, sudah tentu anda akan berupaya membina kepercayaan
dan keyakinan tersebut dengan rakyat. Paling penting, tepati janji anda.Jika
anda berjanji, tunaikan.Satu daripada perkara yang boleh mengikis kepercayaan
dan kesetiaan ini ialah jika anda memungkiri janji.Jika anda menjanjikan
sesuatu, mestilah berpegang pada janji dan menunaikannya.