Friday 27 April 2012

Budak Ketagih Judi Dirantai Bapa


Kasihan ada, nak kata padan muka pun ada. Kenapa? Sebab seorang pelajar berusia 13 tahun terpaksa menjadi tontonan orang ramai selama dua jam akibat dirantai oleh bapanya di sebatang pokok kerana ponteng sekolah untuk berjudi.


PHNOM PENH: Bosan dengan perangai anaknya yang ketagih berjudi, seorang bapa merantai remaja terbabit ke tiang elektrik sebagai hukuman ponteng sekolah, kata polis semalam.
Pegawai polis Battambang, Cheth Vanny, berkata lelaki terbabit dipercayai terlalu berang apabila mendapati anaknya itu leka berjudi di sebuah kafe siber berhampiran, sedangkan pada waktu itu dia sepatutnya pergi sekolah.
Katanya, remaja berusia 13 tahun itu kemudian dirantai di tempat awam sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu.
“Remaja terbabit mendakwa dia turut dipukul bapanya,” katanya.
Menurut Cheth, remaja itu hanya dibebaskan daripada ikatan kira-kira dua jam kemudian apabila orang ramai menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
Seorang tukang kunci turut dibawa ke lokasi bagi membuka mangga rantai itu, manakala bapa remaja terbabit melarikan diri dan kini diburu atas kesalahan mendera. – Sumber: AFP

Rumah Pokok Terbesar di Dunia


Tennessee – Horace Burgess, menghabiskan masa selama 11 tahun untuk membina sebuah rumah di atas pokok setinggi 10 tingkat selepas mendakwa mendapat arahan daripada Tuhan untuk melakukannya.


Rumah berkenaan yang berukuran 10,000 kaki persegi, hanya berharga RM36,000 dengan menggunakan bahan kitar semula.


Pembinaannya meliputi tangga dan balkoni selain dilengkapi dengan gelanggang bola keranjang.
Ketinggian rumah berkenaan adalah 97 kaki.
“Saya bina rumah ini untuk semua. Ia milik Tuhan yang sentiasa memerhatikan kita,” kata Burgess

Dalam pada itu, jurugambar,Tom Whettonang mengambil gambar rumah berkenaan berkata, rumah yang dibina di atas pokok itu amat menakjubkan.
“Anda tidak akan menghargainya sehingga anda menjejak kaki ke dalamnya.

“Ia amat besar dan menjadi impian setiap budak-budak. Malah saya sebagai orang dewasa juga mahu masuk ke dalam rumah ini,” katanya.

Rumah ini disokong oleh enam pokok dan ia dibina dengan menggunakan 258,000 paku.


Muhyiddin mahu umat Islam BERSATU


TUMPAT: Masyarakat Islam di negara ini perlu memberi tumpuan kepada perpaduan ummah dengan menghindarkan daripada perbuatan yang membawa kepada perpecahan, kata Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun wujud pandangan politik yang berbeza tetapi dalam soal agama dan penyatuan ummah perlu diutamakan oleh seluruh masyarakat Islam.

"Peranan tok guru di pondok-pondok amat kita hargai kerana ia penting untuk menyebarluaskan pendidikan agama Islam yang memang menentukan soal perpaduan, yang menentukan hubungan baik dan menentukan pembangunan masa depan umat Islam di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Minda Pondok di Pondok Al Najmiah, Kampung Tebing, Pengkalan Kubor dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengasas Pondok Al Najmiah, Abdullah Saamah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kerajaan Pusat memang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal pembangunan umat Islam dengan merangka pelbagai program untuk melihat umat Islam terus maju dan tidak dibelenggu dengan masalah kemiskinan dan masalah masyarakat yang lain.  

"Saya bersetuju dengan apa yang tok guru sebutkan tadi, menerusi pendidikan Islam kita menyedarkan supaya pemimpin dan masyarakat dalam negara ini untuk memberi tumpuan utama menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur dan rakyat hidup bersatu padu dan jangan sekali-kali ada perbalahan antara semasa kita," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, Kerajaan Pusat akan membantu mencari tapak baru untuk Pondok Al Najmiah dengan pelbagai kemudahan yang akan memberi keselesaan kepada pelajar. 

"Kita nak keadaan pondok yang lebih selamat, saya rasa agak dukacita di mana saya baca berita dalam surat khabar kadang-kadang berlaku kemalangan, ada terbakar hingga menjejaskan anak-anak yang belajar di pondok-pondok, jadi saya tidak mahu melihat keadaan ini berlaku di sini, untuk menjamin keadaan yang lebih baik dan sejahtera, Kerajaan Pusat sanggup membantu untuk memperbaiki Keadaan di pondok ini, katanya. 

Pada majlis tersebut, Muhyiddin mengumumkan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM100,000 kepada setiap lima pondok di Kelantan, bagi membaik pulih pondok masing-masing. – BERNAMA

Montalvo bukan lagi ‘BUDAK PENYU’



BOGOTA: Nasib ‘budak penyu’ yang mempunyai tahi lalat gergasi pada badannya kini berubah selepas dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan, lapor media semalam.

Berasal dari Colombia, Didier Montalvo, 6, lahir dengan masalah itu - dikenali dalam istilah perubatan sebagai Congenital Melanocytic Nevus - dan berpotensi membahayakan dirinya. Bagaimanapun, disebabkan keadaan ekonomi ibunya, Luz, tidak mengizinkan, mereka gagal mengumpul wang mencukupi bagi membolehkan dia menjalani pembedahan membuang tahi lalat berkenaan. Hidup di kawasan pedalaman juga menyebabkan keluarga Montalvo terikat dengan kepercayaan tahyul.

Berdasarkan pandangan pawang, budak itu dipercayai mula menjadi janin ketika gerhana.

Mereka juga bimbang Montalvo mungkin diganggu roh jahat dan ia akan menghalangnya untuk bersekolah atau dibaptiskan. Namun, sekumpulan doktor, diketuai pakar pembedahan plastik dari Britain, Neil Bulstrode, menawarkan diri membantu Montalvo secara percuma selepas mengetahui kisahnya. Menurut Bulstrode, dia pergi ke Bogota untuk membantu sekumpulan pakar bedah negara itu membuang tanda lahir pada badan kanak-kanak terbabit. Disebabkan tahi lalat itu terlalu besar, doktor terpaksa menjalankan siri pembedahan yang merangkumi beberapa tahap. 

Kata Bulstrode, kejadian menimpa Montalvo adalah kes paling serius pernah dihadapinya.

“Kira-kira tiga per empat badan budak itu terjejas akibat tanda lahir berkenaan,” katanya. Untuk membolehkan Montalvo membesar seperti kanak-kanak biasa, kata Bulstrode, budak itu perlu melalui sejumlah pembedahan menyakitkan.

“Tapi kami berpendapat, ia memang berbaloi,” katanya. Setakat ini, pakar perubatan belum mengetahui dengan jelas bagaimana tanda lahir seumpama itu boleh berlaku, tetapi ia mungkin membabitkan perubahan sel kulit pada janin akibat mutasi gen. – DM

7,632 peserta AZAM Tani akhiri kemiskinan



Purata pendapatan cecah RM1,500 sebulan
 
SEPANG: Seramai 7,632 peserta AZAM Tani, program mengakhiri zaman miskin bagi golongan miskin dan miskin tegar, berjaya keluar daripada kelompok itu sehingga tahun lalu dengan pendapatan purata mereka kini mencecah RM1,500 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua peserta itu kini memperoleh pendapatan lebih baik dan menikmati kehidupan lebih selesa, hasil sumbangan, latihan dan peluang yang disediakan menerusi program 1AZAM.

Antara contoh kejayaan program itu yang diberikan Najib ialah bagaimana seorang penanam padi di Melaka, Hamzah Husni Mohamad, berjaya meningkatkan pendapatan sehingga RM12,500 bagi semusim padi hasil bantuan kerajaan berbanding pendapatan sekitar RM120 sebulan sebelum itu.

“Beliau tidak berkemampuan untuk terus menanam padi kerana tiada keperluan asas, tetapi selepas menyertai Program AZAM Tani dan berusaha gigih, kini pendapatannya hampir RM12,500 bagi tempoh empat hingga lima bulan atau semusim.

“Banyak lagi kejayaan peserta AZAM Tani lain yang mengusahakan tanaman cili, cendawan, menternak ikan patin, ayam kampung dan pelbagai sayuran lain, yang hari ini memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan dan sudah keluar daripada miskin tegar dan miskin,” katanya pada majlis pelancaran Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS 3) Sepang di Jalan Nilai-Lapangan Terbamg Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Projek itu membabitkan tanaman Rockmelon teknologi fertigasi di tapak seluas tiga hektar milik Kementerian Pertahanan, manakala khidmat nasihat kepada 400 peserta AZAM Tani yang terdiri daripada penduduk miskin dan miskin tegar disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Perdana Menteri yakin projek NBOS3 Sepang berupaya mengubah taraf hidup peserta, selain menjadi tarikan pelawat dalam dan luar negara bagi sektor agropelancongan.

Program AZAM Tani yang diperkenalkan pada 2010, adalah satu projek di bawah 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mempertingkatkan hidup rakyat berpendapatan rendah yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

UniMAP jalin kerjasama dengan Universiti Cambridge








LONDON: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melebarkan rangkaian kerjasamanya dengan institut antarabangsa dan terkini dengan Universiti Cambridge, di sini.  

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berlangsung di Universiti Cambridge hari ini, antara UniMAP yang diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Universiti Cambridge pula oleh Ketua Jabatan Sains Bahan dan Metalurgi, Prof A Lindsay Greer.

Kamarudin yang ditemui selepas majlis itu, berkata MoU itu bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang bahan dan metalurgi antara kedua-dua universiti.
"Saya berharap pelbagai kajian dan penambahbaikan akan dapat dilaksanakan bersama dan secara tidak langsung memperluaskan jaringan antarabangsa.

“UniMAP akan terus mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh dimanfaatkan bersama dengan Universiti Cambridge selain bidang penyelidikan,” katanya. – BERNAMA