TUMPAT: Masyarakat Islam di
negara ini perlu memberi tumpuan kepada perpaduan ummah dengan menghindarkan
daripada perbuatan yang membawa kepada perpecahan, kata Timbalan Perdana
Menteri,
Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Beliau berkata,
walaupun wujud pandangan politik yang berbeza tetapi dalam soal agama dan
penyatuan ummah perlu diutamakan oleh seluruh masyarakat Islam.
"Peranan tok
guru di pondok-pondok amat kita hargai kerana ia penting untuk menyebarluaskan
pendidikan agama Islam yang memang menentukan soal perpaduan, yang menentukan
hubungan baik dan menentukan pembangunan masa depan umat Islam di negara
ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Minda Pondok di
Pondok Al Najmiah, Kampung Tebing, Pengkalan Kubor dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Pengasas Pondok Al Najmiah, Abdullah Saamah;
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kerajaan
Pusat memang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal pembangunan umat Islam
dengan merangka pelbagai program untuk melihat umat Islam terus maju dan tidak
dibelenggu dengan masalah kemiskinan dan masalah masyarakat yang lain.
"Saya bersetuju dengan apa yang tok guru sebutkan tadi,
menerusi pendidikan Islam kita menyedarkan supaya pemimpin dan masyarakat dalam
negara ini untuk memberi tumpuan utama menjadikan Malaysia sebuah negara maju,
makmur dan rakyat hidup bersatu padu dan jangan sekali-kali ada perbalahan
antara semasa kita," katanya.
Timbalan Perdana
Menteri juga berkata, Kerajaan Pusat akan membantu mencari tapak baru untuk
Pondok Al Najmiah dengan pelbagai kemudahan yang akan memberi keselesaan kepada
pelajar.
"Kita nak keadaan pondok yang lebih selamat, saya rasa agak dukacita di
mana saya baca berita dalam surat khabar kadang-kadang berlaku kemalangan, ada
terbakar hingga menjejaskan anak-anak yang belajar di pondok-pondok, jadi saya
tidak mahu melihat keadaan ini berlaku di sini, untuk menjamin keadaan yang
lebih baik dan sejahtera, Kerajaan Pusat sanggup membantu untuk memperbaiki Keadaan
di pondok ini, katanya.
Pada majlis tersebut, Muhyiddin mengumumkan peruntukan
Kerajaan Pusat sebanyak RM100,000 kepada setiap lima pondok di Kelantan, bagi
membaik pulih pondok masing-masing. – BERNAMA